Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘Tazkirah’ Category

Kewajipan ibadah haji

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIIM

 

 

Haji ialah salah satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam. Dalam urutan rukun Islam ianya adalah yang kelima iaitu yang terakhir. Ianya diperintahkan Allah didalam surah al-Baqarah ayat 196. Firman Allah :

 

وَأَتِمُّواْ ٱلۡحَجَّ وَٱلۡعُمۡرَةَ لِلَّهِ‌ۚ

 

Dan sempurnakanlah ibadah haji dan `umrah karena Allah.

 

 

Ianya bermula dizaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ketika baginda berdua tinggal di Mekah. Allah telah memerintahkan baginda berdua supaya membina Kaabah sebagai tempat beribadat. Maka dengan kepayahan dan kesabaran mereka menurut perintah Allah itu. Kemudian dengan perintah Allah juga Nabi Ibrahim menyeru manusia untuk datang beribadat di Kaabah. Firman Allah di dalam surah al-Hajj ayat 27-29 :

 

وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ يَأۡتُوكَ رِجَالاً۬ وَعَلَىٰ ڪُلِّ ضَامِرٍ۬ يَأۡتِينَ

 

مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ۬ (٢٧) لِّيَشۡهَدُواْ مَنَـٰفِعَ لَهُمۡ وَيَذۡڪُرُواْ ٱسۡمَ

 

ٱللَّهِ فِىٓ أَيَّامٍ۬ مَّعۡلُومَـٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلۡأَنۡعَـٰمِ‌ۖ فَكُلُواْ

 

 مِنۡہَا وَأَطۡعِمُواْ ٱلۡبَآٮِٕسَ ٱلۡفَقِيرَ (٢٨) ثُمَّ لۡيَقۡضُواْ تَفَثَهُمۡ وَلۡيُوفُواْ

 

 نُذُورَهُمۡ وَلۡيَطَّوَّفُواْ بِٱلۡبَيۡتِ ٱلۡعَتِيقِ (٢٩)

 

 

Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki, dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh : 27

 

Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan berbagai faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan qurban) dengan demikian makanlah kamu (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin : 28

 

Kemudian hendaklah mereka membersihkan diri mereka, dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka, dan hendaklah mereka tawaf akan baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu. : 29

 

Oleh kerana seruan itu yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s maka setiap orang yang dalam perjalanan ke Mekah selepas berniat di miqat samada untuk menunaikan umrah atau haji maka sangat-sangat dianjurkan agar menyebut “Labaikallahummalabaik, Labaikala syarikalakalabik” dengan maksud “HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya hambaMu datang menyahut panggilanMu”.

 

Ini ialah sebagai simbolik kita menyahut kembali kepada seruan Nabi Allah Ibrahim yang menyeru manusia agar datang ke Baitullah apabila baginda diperintahkan oleh Allah melakukan seruan itu setelah baginda selesai membina Kaabah dahulu.

 

Ibadah haji ialah ibadat yang sangat mencabar fizikal dan mental manusia. Bermula dari saat kita ingin mencari wang sebagai bekalan dan tambang hinggalah kepada hari berlepas yang disulami dengan pelbagai karenah. Itu belum dikira hari-hari kita berada di Mekah beserta jutaan ummat Islam yang lain yang datang dari pelbagai pelusuk dunia untuk bersama-sama dengan kita untuk menunaikan haji.

 

Dahulu cabarannya lain. Sekarang cabarannya lain. Dahulu tidaklah seramai sekarang orang yang mengerjakan haji mengerjakan haji.Tetapi kepayahan untuk datang dapat dilihat dengan kesusahan mereka menempuh badai gelora lautan bagi yang menggunakan kapal laut. Berbulan-bulan mereka meninggalkan keluarga dan tanah air semata-mata kerana memenuhi tuntutan Allah. Ada juga yang menaiki unta untuk datang.

 

Bakal haji sekarang ini walaupun mempunyai kenderaan yang bagus, selesa dan pantas, tetapi mereka pula menghadapi cabaran dengan jumlah kehadiran manusia yang begitu ramai sehingga lebih tiga juta orang jemaah pada satu-satu masa. Bukan perkara yang mudah untuk melakukan haji dalam keadaan yang berasak-asak begitu.

 

Bayangkan kita didalam ihram, diharamkan bagi kita dari melakukan 13 perkara yang biasa kita lakukan dalam kehidupan seharian kita, tiba-tiba disuruh kita agar menjauhinya. Ditambah pula dengan karenah orang-orang disekeliling kita yang mempunyai pelbagai watak dan perangai. Maka oleh kerana perjalanan ibadat ini sangat mencabar, maka ianya perlukan kesabaran yang tinggi dan akhlak yang mulia bagi kita menyelesaikannya dengan baik dan mendapat haji yang mabrur.

 

Dengan keadaan yang kelihatan tidak terurus, rambut yang tidak disikat kerana dibimbangi rambut gugur kerana kita dilarang mencabut bulu dari badan kita dengan sengaja, dengan tidak memakai pakaian berjahit yang sempurna hanya dua helai kain ihram yang disunatkan berwarna putih, tiada kasut yang cantik, tiada bau-bauan yang diletakkan atas tubuh kita maka ianya menjadikan kita sebagai sebenar-benar hamba Allah yang tidak punyai apa.

 

Apabila wuquf di Padang Arafah, walaupun kamu raja yang memerintah, ataupun seorang rakyat yang diperintah, samada kamu berketurunan mulia atau seorang yang tidak tahu asal-usul keturunannya maka disini, kamu adalah sama. Tiada beza disisi Allah. Menginsafkan kita bahawa tiada apa yang hebat hidup di dunia ini melainkan apabila kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah.

 

Ramai orang pergi menunaikan haji tapi amat sedikit  daripada mereka yang mendapat haji mabrur kerana ianya berkait rapat dengan niat yang ikhlas, hati yang suci, syarat-syarat yang cukup rukun-rukun yang ditetapkan dan ahklak yang mulia. Ada yang datang dengan tujuan yang menyimpang seperti mahu digelar “haji”, mahu kelihatan warak, malu pada teman-teman yang sudah menunaikan haji. Terpaksa mengikut keluarga dan berbagi-bagai lagi niat yang dipasang yang bukan kerana Allah.

 

Rasulullah diriwayatkan ketika mahu memulakan ibadat haji, baginda berdoa kepada Allah supaya janganlah kiranya haji yang baginda ingin lakukan itu kerana sum’ah dan riya’. Ini menunjukkan kepada kita bahawa bukan senang untuk melakukan haji yang ikhlas kerana Allah sehinggakan baginda yang maksum itu juga berdoa agar terlindung dari perkara-perkara mazmumah itu.

 

Ibadat ini juga dilakukan secara berjemaah menyebabkan kita bertemu dengan ramai ummat Islam dari berbagai bangsa maka disitu kita hendaklah memupuk persaudaraan Islam. Tanpa mengira warna kulit, negara mana, mahupun bahasa apa yang kita gunakan kita bersatu dibawah nama Islam dan bersaudara juga dibawah panji Islam. Perkumpulan ini membuktikan penyatuan ummat Islam sejagat begitu utuh. Tidak terdapat didalam mana-mana agama penyatuan seperti ini.

 

Dalam kesempatan ini suka untuk ana memberikan sedikit nasihat kepada mereka yang bakal menunaikan haji supaya mengikhlaskan hati dan jiwa  kepada Allah. Bukan kita hanya perlu membawa pakaian dan bekalan lahiriah sahaja tetapi membawa bersama-sama taqwa yang tinggi, akhlak yang mulia dan sikap bertoleransi sebagai bekalan batiniah.

 

Janganlah kita hanya berakhlak mulia ketika di Tanah Haram sahaja akan tetapi bawalah pulang kembali bersama akhlak-akhlak terpuji ini agar dapat ia diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat kita. Semoga masyarakat kita menjadi masyarakat madani dengan terbentuknya akhlak-akhlak terpuji ini.

 

Janganlah kita berbalah masam muka tapi banyakkan sabar, ibadah, doa-doa dan rebutlah peluang dengan sebaik-baiknya dibumi yang berkat pada hari-hari yang dimuliakan agar kita menjadi orang yang bertaqwa disisi Allah.Firman Allah:

 

ٱلۡحَجُّ أَشۡهُرٌ۬ مَّعۡلُومَـٰتٌ۬‌ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلۡحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا

 

 فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلۡحَجِّ‌ۗ وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٍ۬ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُ

 

‌ۗ وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰ‌ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

 

(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal. (al-Baqarah :197 )

 

Kesimpulan kepada ibadat haji ini ialah ianya akan membantu kita membentuk peribadi yang mulia setelah kita belajar dari pengalaman yang berharga di bumi Mekah. Kita belajar sabar dengan karenah manusia yang berbagai fe’el. Membantu kita menjadi zuhud apabila kita melihat tubuh kita yang hanya disaluti dua helai kain ihram. Tiada apa yang diperlukan dari harta dunia ini. Kita merasa rendah diri dan tidak punya apa apabila memikirkan bahawa manusia ini semua sama sahaja disisi Allah kecuali mereka yang bertaqwa. Semoga antum semua mendapat haji yang mabrur. Doa ana untuk semua Amiin.

 

 

Wallahua’lam

Read Full Post »

Ibadah Qurban (Adhiyyah)

Ibadah Qurban (Adhiyyah)

 

Bismillahirrahmanirrahiim

 

Adhiyyah bererti sembelihan binatang seperti unta, lembu, kambing, dan biri-biri. Adapun tujuan sembelihan ini adalah untuk taqarruban iaitulah mendekatkan diri kepada Allah. Ianya ialah ibadah taabudi yang dilakukan pada hari-hari raya adha dan tasyrik. Dalil ibadah qurban ini ialah Allah berfirman dalam surah al-kautsar ayat 2:

 

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ (٢)

 

Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)

 

Hukum kepada ibadah ini ialah sunat muakadah iaitu satu sunnah yang sangat-sangat dituntut untuk kita melakukannya. Nabi s.a.w tidak pernah meninggalkan ibadah ini. Walaupun hanya sunat, tetapi ianya  boleh menjadi wajib kalau sekiranya seseorang itu bernazar untuk melakukannya.

 

Ibadah ini juga afdhal untuk kita melakukannya mengikut turutan iaitu turutannya ialah unta jika kita mampu.Sekiranya tiada kemampuan maka carilah lembu dan sekiranya masih tidak mampu juga maka sembelihlah kambing atau sebahagian daripada daripada tujuh bahagian unta atau lembu. Rasulullah diriwayatkan pernah menyembelih seekor unta untuk isteri-isteri baginda.

 

Ibadah taabudi ialah ibadah yang dilakukan secara taabud iaitu perkara yang tidak boleh ditukar. Apabila dinamakan ibadah taabud maka dalam apa bentuk sekalipun ia menuntut kepada ketaatan walaupun dalam sesuatu ibadah taabudi itu tiada hikmat yang dapat kita lihat secara jelas.

 

Pada hukumnya daging qurban ini tidak diberikan kepada orang bukan Islam. Berlainan dengan aqiqah yang lebih cenderung kepada kesyukuran kerana mendapat anak. Akan tetapi hukum daging qurban itu boleh berubah sekiranya pada satu-satu ketika daging itu menjadi terlalu banyak dan boleh mengakibatkan pembaziran maka ada ulamak yang mengharuskan pemberian daging itu kepada orang bukan Islam atas dasar mengelakkan pembaziran daripada berlaku.

 

Dalam hal pembahagian juga, disunatkan daging-daging qurban ini diagihkan secara mentah kepada penerima berbanding dengan aqiqah yang disunatkan kita memasaknya dengan dilebihkan sedikit rasa manis dalam masakan itu.

 

Hikmah yang ada pada ibadah ini juga, adalah untuk mengingatkan kita kepada kesabaran, kesanggupan menerima perintah Allah secara mutlak yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim sekeluarga. Tiada merasa susah dengan perintah Allah. Bayangkanlah ketika mula mendapat anak setelah sekian lama menunggu, baginda diperintah Allah agar meletakkan anak isterinya di suatu lembah yang gersang. Apabila anak itu meningkat remaja, diperintahkan pula supaya menyembelih anak kesayangan baginda itu.

 

Tiadalah kesanggupan melakukan kerja yang dianggap amat perit itu melainkan keatas orang-orang yang benar-benar bertaqwa dan juga bertawakkal kepada Allah sahaja. Hanya insane yang terpilih sahaja yang benar-benar menyanggupinya. Semoga dengan ibadah qurban ini maka akan lahirlah keinsafan dalam diri kita untuk turut berkorban dijalan Allah.

 

Selain daripada kita merenung peristiwa ketaatan nabi Allah Ibrahim sekeluarga ibadah ini juga sebenarnya untuk menginsafi dan menghidupkan rasa kasih sayang tolong menolong kepada orang miskin, keluarga jiran dan masyarakat. Rasa kekitaan akan wujud hasil daripada perasaan cakna kita dengan orang disekeliling kita. Dengan bersedekah, memberi hadiah, ianya akan menambahkan lagi ikatan persaudaraan yang telah sedia ada.

 

Suka ana disini mengambil kesempatan untuk menasihati saudara-saudari sekelian agar berusaha supaya menghidupkan ibadah ini dengan penuh keikhlasan. Firman Allah:

 

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡ‌ۚ كَذَٲلِكَ

 سَخَّرَهَا لَكُمۡ لِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (٣٧)

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.(Surah al-Hajj ayat 37)

Beberapa perkara juga patut kita perhatikan dalam kita menjalani ibadah ini iaitu adalah haram mengambil daging qurban  dan dijadikan sebagai upah kepada tukang sembelih atau orang yang melapah daging. Boleh kita ambil duit lain sebagai upah. Walaupun begitu adalah lebih afdhal jika kita niat untuk menolong sahaja.

 

Sunat diambil sedikit daripada bahagian hati untuk dimakan oleh tuan empunya daging qurban. Keseluruhan daging itu boleh di bahgi tiga bahagian iaitu satu bahagian untuk empunya, satu bahagian untuk orang miskin dan satu bahagian untuk orang kaya.

 

Akhirnya sebagai penutup bicara, ana mengajak saudar-saudari sekelian agar mengambil iktibar dengan bersungguh-sungguh tentang kepayahan dan kesulitan yang dialami oleh para nabi kita dalam mengorbankan segala kesenangan dunia dalam perjalanan mereka untuk menegakkan agama Allah. Oleh itu carilah kesanggupan kita untuk turut berkorban di jalan Allah kerana para nabi, anbiya, solehin dan orang-orang yang telah mengikut jalan pengorbanan ini telahpun berbahagia dialam roh disisi Allah.

 

 

Wallahua’lam

 

Read Full Post »

Apakah maksud yang dikatakan sebagai orang mukmin? Orang mukmin ialah orang yang beriman dan percaya serta tiada perasaaan syak ragu kepada Allah. Adapun sesungguhnya orang-orang mukmin itu terbahagi kepada dua bahagian:

 

1.Mukmin soleh dan bertaqwa iaitu mereka yang sentiasa melakukan perkara-perkara yang baik dan sentiasa menghindari daripada melakukan perkara yang mungkar dan maksiat

 

2.Mukmin yang asi dengan kata lain yang selain daripada melakukan ketaatan mereka juga melakukan maksiat.

 

Sesungguhnya bukan semua orang-orang mukmin itu muttaqin dan solehin. Disana ada terdapat orang-orang yang  mukmin tapi asi iaitu derhaka kepada Allah. Orang-orang mukmin yang asi dia beriman kepada Allah dan percaya kepada Allah tetapi iman mereka lemah atau nipis. Kerana itu dia melakukan perkara maksiat mungkar. Sedang hatinya masih lagi percaya tetapi lemah untuk meninggalkan dosa dan maksiat itu.

 

Orang itu nasibnya di hari akhirat diletakkan didalam neraka dan dibakar. Apabila habis tempoh seksaannya dengan kehendak Allah lalu dia dikeluarkan daripada neraka. Dengan kata lain dia tidak rela kerana imannya masih ada selepas itu dia dimasukkan pula ke syurga.

 

Antara sifat-sifat orang mukmin yang asi ialah cuai dalam melakukan ketaatan wajib seperti solat puasa dan sebagainya. Dan juga kerana melakukan benda-benda yang haram seperti zina, mencuri, mendedahkan aurat dan lain-lain. Tergolong juga orang yang mukmin yang asi itu ialah apabila dia melakukan ibadat dan perkara-perkara yang baik tapi hatinya tidak ikhlas. Adanya riak, sum’ah atau ibadat yang dilakukan itu dalam tidak betul syarat-syaratnya tidak cukup rukunnya.

 

Sesungguh ibadat itu apabila diangkat ke langit oleh malaikat lalu ibadat-ibadat itu akan berkata kepada orang yang melakukannya “Sebagaimana engkau telah mensia-sia terhadapku maka Allah juga akan mensia-siakan engkau. Tuhan akan abaikan dirimu dan tidak akan membuka pintu langit untukmu. Tuhan tidak akan beri peluang untuk masuk syurganya”

 

Oleh kerana itu seluruh ibadat hendaklah dilaksanakan dengan betul dan ikhlas kepada Allah. Jika tidak, seseorang itu melakukan ibadat berdosa, tidak melakukannya juga berdosa. Firman Allah :

 

 

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ

 

 وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ‌ۚ وَذَٲلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ

 

               Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar. (al-bayyinah 5.)

 

Sebab itu pernah rasulullah s.a.w bukan sahaja mengajak manusia kepada Islam dan beramal dengannya tetapi dalam masa yang sama juga rasulullah memperbetulkan amalan manusia kerana tidak beramal berdosa dan beramal dgn cara yg salah ianya juga berdosa.

 

Islam adalah ajaran yang bersih suci, cermat.kita diajak supaya menjaga luaran dan dalam dengan sempurna. Oleh itu rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a, mereka rajin beribadat dan cermat beribadat.sehingga ada riwayat yang menceritakan ada seorang sahabat ketika dia sembahyang dimana burung hinggap kerana menyangkakan batang kayu.

 

Adapun sifat-sifat orang mukmin yang soleh lagi bertaqwa ialah mereka yang hatinya suci suka beribadat yang wajib dan sunat disamping memelihara dirinya daripada maksiat-maksiat yang besar dan kecil yang luar dan dalam. Antara sifat-sifat itu ialah sentiasa mendirikan sembahyang dan menjaga syarat-syarat, rukun-rukun serta kekhusyukan dalam ibadat.

 

Keikhlasan hati mereka hanyalah kepada Allah. Tiada apa yang mereka harapkan kecuali redha Allah walau dalam apa jua keadaan. Mereka tidak kisahkan apa yang manusia kata dan fikirkan, yang mereka kisahkan ialah apa yang Allah fikir dan apakah Allah redha dengan mereka atau tidak.

 

Bagi mereka yang ikhlas kepada Allah ini, biarlah seluruh manusia menghina dan memarahi dirinya kerana memelihara agama Allah dan Allah meredhainya daripada dia disanjung dan dipuja oleh semua makhluk tetapi dalam masa yang sama Allah melaknatinya dan memurkainya.

 

 

Wallahua’lam

Read Full Post »

Ummat Islam wajib bersatu

        Kesatuan ummat Islam adalah kewajipan dalam agama. Ianya amat penting apatah lagi dalam kita ummat Islam berada dalam keadaan yang lemah ditengah-tengah masyarakat dunia.Rasul-rasul yang diutuskan Allah membawa Islam yang mana antara  lain ajaran yang utama didalamnya ialah bersatu.

 

Ini terbukti sebagaimana didalam peristiwa persaudaraan diantara Muhajirin dan Ansar yang diantara mereka tiada langsung ikatan pertalian darah.Yang ada hanyalah ikatan persaudaraan dalam Islam. Juga berlaku kepada puak Aus dan Khazraj yang telah berkurun lamanya bermusuhan akhirnya bersatu diatas nama Islam.

 

Kesatuan mereka atas nama Islam ini adalah contoh terbaik bagi kita semua dalam menterjemahkan Islam itu adalah agama universal iaitu agama untuk semua. Tiada perjuangan atas nama kaum, tiada pilih kasih semata-mata berlainan warna kulit, bukan kasih sayang itu hanya kerana seseorang itu terdiri daripada keturunan kita, bahkan kasih sayang itu ikhlas kerana Allah. Maka lahirlah ketika itu masyarakat yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah.

 

Walaupun mereka mempunyai perbezaan pendapat dalam masalah fiqh, pendekatan politik, dan dalam masalah menafsirkan ayat-ayat al-Quran, akan tetapi dalam masalah pokok iaitu asas kepada Islam mereka akan bersatu. Perkara ini telah dibuktikan oleh imam-imam muktabar pada zaman dahulu. Mereka mengeluarkan pendapat mereka tetapi dalam mereka mempertahankan pendapat dan hujjah mereka, mereka menghormati pandangan atau idea dari imam-imam yang lain asalkan perkara itu ialah perkara furu’ (cabang) dan bukan perkara asas supaya tiada perpecahan terjadi. Itulah adab Islam ketika berselisih pendapat.

 

Satu contoh yang berlaku pada zaman rasulullah dimana beberapa sahabat yang telah menafsirkan arahan rasulullah berkenaan sembahyang asar ketika perjalanan mereka ke perkampungan Bani Khuraizah. Hadis yang bermaksud “ Barang siapa yang beriman kepada Allah jangan seorang dari kamu sembahyang asar melainkan di perkampungan Bani Khuraizah”

 

Ada dikalangan sahabat dalam menafsirkan hadis ini berpendapat bahawa rasulullah bertujuan agar mereka semua cepat sampai ke perkampungan Bani Khuraizah. Ada juga yang menafsirkan solat asar itu wajib dikerjakan hanya di perkampungan Bani Khuraizah. Maka mereka tidak sembahyang di pertengahan jalan. Akan tetapi ada satu kumpulan sahabat pula bersembahyang di tengah perjalanan mereka ke perkampungan Bani Khuraizah kerana melihat waktu asar sudah hamper luput.

 

Disana juga telah terdapat banyak perselisihan pendapat diantara sahabat seperti Saidina Umar, Khalid al-Walid, Ibnu Abbas dan juga Ibnu Umar. Akan tetapi apabila mereka berhujjah dengan pendapat masing-masing, mereka semuanya beradab, berakhlak dan bertoleransi. Ini semua tidak lain hanyalah untuk menjaga kesatuan Islam yang telah diterapkan oleh rasulullah didalam hati-hati mereka.

 

Penyatuan hati-hati mereka ini sebenarnya terjadi apabila rasulullah membawa penghayatan bahawa Islam itu adalah dibawah satu payung aqidah yang satu, Allah yang satu, rasulullah (Muhammad) atau pemimpin yang satu, kiblat yang satu dan kepentingan yang satu iaitu untuk menegakkan agama Allah, Islam. Firman Allah swt.

 

 وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ

 

Dan bertolong-tolonglah kamu dalam perkara taqwa (al-Maidah ayat:2)

 

 

Semua dalil-dalil al-Quran dan sunnah ini menunjukkan kewajipan ummat Islam bersatu. Disana dalil-dalil itu juga menunjukkan bagaimana menghadapi kesatuan musuh diperingkat global.Sebagai contoh, Yahudi, Kristian, Hindu dan juga Buddha walaupun mereka berlainan negara dan ada yang berlainan ideologi agama tetapi atas nama untuk menjahanamkan Islam, mereka boleh bersatu sedangkan pada suatu masa dahulu Yahudi menggelarkan nabi Isa itu anak haram.

 

Lebih membantu agenda mereka ini adalah kita ummat Islam sendiri. Kita lemah dalam kesatuan dan ukhuwah Islamiyyah.Kita masih mencari-cari punca kepada permasalahan mazhab, politik dan lain-lain perkara yang tidak sepatutnya kita pertengkarkan.

 

Soal-soal seperti Sunni, Syiah, Wahhabi, Salafi, Khalafi dan tarekat telah menyebabkan ummat Islam tidak dapat bersatu atau mengiktiraf antara satu sama lain. Seakan-akan itulah perkara asas yang mesti diperbalahkan dan diselesaikan dengan segera. Sedangkan sekiranya seluruh ummat Islam bersatu seperti bersatunya para sahabat, pastinya seluruh ummat Islam akan mendapat berkat dari Allah.

 

Oleh kerana perkara ini seakan menjadi barah kepada ummat Islam, adalah menjadi tugas penting bagi ulamak-ulamak, pemikir-pemikir  dan ahli-ahli politik Islam masa kini untuk memberikan tumpuan kepada kesedaran ahli-ahli atau pengikut-pengikut mereka untuk membentuk kesatuan diantara mereka. Mereka mesti disedarkan bahawa mereka boleh berselisih pendapat dalam perkara furu’ tetapi mereka tidak sekali-sekali boleh berpecah hanya kerana perkara furu’.

 

Amat malang bagi ulamak-ulamak, pemikir-pemikir dan juga ahli-ahli politik Islam kerana terpaksa memikirkan perkara-perkara seperti ini secara mendalam disebabkan ingin menyatukan ummat sedang dalam masa yang sama mereka ini terpaksa juga memikirkan cara bagaimana untuk menepis serangan musuh-musuh Islam. Masa dan tenaga mereka dibazirkan untuk perkara yang tidak sepatutnya. Salah siapa?

 

Soal furu’ atau khilaf ialah soal yang diizinkan Allah untuk diperbincangkan atau diperdebatkan. Ianya adalah tabi’i iaitu semulajadi. Ulamak menyatakan bahawa sekiranya Allah tidak ingin berlakunya kekhilafan dalam dunia ini, nescaya Allah akan menurunkan ayat-ayat al-Quran secara muktamad. Tiada ayat mutsyaabihat yang membawa kepada Qotiyatuddalalah.

 

Jika kita memerhatikan dengan serius, kita sebenarnya sudah mempunyai kekuatan dari sudut-sudut lain yang dikurniakan Allah seperti agama Islam itu sendiri. Ianya ialah agama para nabi-nabi, diturunkan dari langit, diturunkan wahyu bersamanya, sebagai agama fitrah, dan juga agama yang membawa kebaikan di dunia dan akhirat. Didalamnya juga ianya merangkumi semua perkara dari perkara ghaib hingga kepada perkara yang terang nyata. Dari perkara aqidah hingga perkara ibadah, syariat, akhlak dan lain-lain.

 

Allah telah mengurniakan kepada bumi ummat Islam hasil-hasil bumi yang begitu banyak dan kaya. Lihat sahaja kurniaan Allah kepada negara-negara teluk yang memegang rezab pengeluaran petroleum terbesar dunia.Alangkah kuatnya ummat Islam sekiranya mereka bersatu ditambah pula dengan kekayaan masing-masing diagihkan kepada seluruh negara Islam diatas nama persaudaraan dalam Islam.

 

 

Wallahua’lam

Read Full Post »

Pemuda adalah golongan penting untuk membawa Islam kedalam masyarakat manusia. Mereka adalah golongan yang dikatakan sebagai tiang kepada negara. Peranan mereka amat penting dalam proses pembentukan sesebuah negara. Seperti pandangan pemikir-pemikir dan cendikiawan-cendikiawan bahawa untuk melihat keadaan masa depan sesebuah negara itu lihatlah kepada keadaan pemuda-pemudi mereka sekarang.

Pandangan ini membayangkan kepada semua tentang kekuatan sesebuah negara itu bergantung kepada kekuatan pemuda-pemudinya. Jika mereka sentiasa dalam keadaan ingin menguatkan negara mereka, atau berusaha untuk mencari kejayaan dalam hidup mereka di dunia dan akhirat, maka insyaAllah negara itu akan kuat dimasa depan.

Dan sebaliknya iaitu jika golongan ini sentiasa sibuk ataupun disibukkan dengan hiburan dan perkara yang melalaikan pemikiran dan jiwa mereka, tiada berkehendak untuk berfikir tentang masa depan mereka dan mereka hanya tahu berpesta atau berhibur semata-mata maka, kita bakal melihat kemusnahan negara tersebut dimasa depan.

Tetapi untuk membentuk pemuda pemudi seperti yang dikehendaki Islam, ianya bukanlah perkara yang enteng. Mereka hendaklah membina diri dengan lengkap dan sempurna mengikut pandangan Islam. Antara keperluan yang digariskan ialah :

1.Membina kematangan akal :

Dengan memberi perhatian bersungguh kepada ilmu supaya menjadi seorang pemuda yang faham ilmu fardhu ain ,kifayah, dunia, akhirat dan lain-lain. Dengan ilmu juga mereka akan mengenali Allah sebagai pencipta, kenal Islam sebagai agama, yakin dengan perjuangan sebagai jalan untuk menyelamatkan manusia. Dengan ilmu juga mereka dapat memajukan diri, keluarga dan negara menurut Islam. Firman Allah swt :

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ

Bacalah dengan nama Rabbmu yang menciptakan (al-Alaq ayat : 1)

2.Membina roh dengan ibadah :

Ibadah merupakan hubungan dengan Allah secara langsung. Samada yang dinamakan rukun wajib seperti sembahyang puasa, ataupun sunat seperti membaca al-Quran, zikir, tahlil dan lain-lain. Dengan kita pada setiap masa memenuhi tuntutan ibadah ini maka kita sebenarnya telah menguatkan roh. Kesan dari roh yang kuat ini maka akan terhasilah ibadah yang ikhlas kerana Allah. Jika badan kita kuat tetapi roh kita lemah maka ini menunjukkan tiada keseimbangan dalam memenuhi tuntutan kedua-duanya.

3.Membina akhlak :

Sifat-sifat yang mulia, kelakuan-kelakuan yang baik sebagai seorang Islam dan mukmin perlu diterap dalam diri pemuda-pemudi Islam. Bukan sahaja kepintaran tetapi juga mesti kepintaran itu disulami dengan akhlak mulia. Dengan akhlak kita akan dapat menawan hati manusia. Berusaha untuk mencontohi akhlak rasulullah kerana rasulullah ada bersabda yang bermaksud “ Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak.”

4.Membina tubuh badan yang sihat:

Mengambil makanan seimbang adalah penting bagi membina tubuh yang sihat selain dari bersukan. Tubuh badan yang sihat akan menjana akal yang sihat. Tubuh badan yang sihat juga akan membentuk manusia yang cergas, fikiran akan menjadi tajam, ianya juga secara tidak langsung akan dapat memberikan kekuatan fizikal kepada pemiliknya.

5.Membina hubungan dengan masyarakat:

Suka bergaul dengan mereka, mengambil berat tentang mereka, bertanyakan khabar mereka, berkenalan dengan mereka, berkhidmat secara ikhlas kerana Allah tanpa mengira fahaman, mazhab, kedudukan dan batasan. Selari dengan firman Allah Taala :

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ

“Dan bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara taqwa (surah al-Maidah ayat 2 )

Untuk mereka mendapat kejayaan didalam sesuatu bidang, mereka hendaklah memahami perkara asas dahulu. Kalau petani mesti tahu perkara asas tanaman, kalau nelayan mestilah tahu asas tentang ikan dan laut. Begitu jugalah dengan perhubungan dengan masyarakat. Mereka mestilah mengetahui akan perkara asas yang menjadi kesukaan atau kebencian masyarakat kerana dengan cara ini kita dapat mengenali masyarakat secara dekat. Justeru, kita mestilah bergaul dan mengenali mereka dengan lebih dekat lagi agar dakwah kita akan menjadi lebih berkesan.

Inilah ciri-ciri pemuda harapan, yang mampu menyelamatkan Islam, negara dan ummatnya. Oleh kerana jalan perjuangan untuk memartabatkan Islam penuh dengan cabaran dan dugaan, maka mereka yang mampu untuk meredah  melepasi rintangan kepada kejayaan ini hanyalah mereka yang kuat rohani dan jasmaninya.

Hari ini pemuda-pemuda kita ramai yang bersemangat tetapi mereka kehilangan kekuatan. Kelima-lima kekuatan tadi juga mampu membentuk muslim dan mukmin yang terbuka, bertoleransi dan tidak melulu, melampau, ekstrim, taksub membabi buta. Malah kelima-lima kekuatan tadi juga akan dapat melahirkan pemuda yang berpandangan jauh, tidak sempit pemikirannya dan juga boleh diajak berbincang secara ilmiah.

Bayangkan keadaan dimana pemuda muslim yang cuba berdakwah kepada orang ramai tentang Islam mempunyai sifat-sifat seperti tidak cerdik kerana tiada ilmu dan tidak mendalaminya, tidak melakukan ibadat wajib mahupun sunat, berakhlak buruk, tidak bermaya dan tidak bergaul dengan masyarakat. Adakah anda fikir dakwah mereka akan berjaya?

Maka sewajarnyalah bagi semua pemuda Islam untuk melengkapkan diri mereka semua dengan kekuatan-kekuatan ini. Janganlah kerana kejahilan dan kelemahan dalam diri kita, akan menyebabkan usaha untuk mendaulatkan Islam menjadi sia-sia. Dan paling malang apabila orang yang berminat untuk mendalami Islam semakin menjauhi Islam kerana kelemahan kita. Akhirnya Islam pula dipandang buruk kerana kita Waiyyazubillah.

Wallahua’lam

Read Full Post »

Older Posts »