Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Jun 2008

Membunuh cicak

Soalan:

Saya nak tanya pasal kes bunuh cicak ni. Hadithnya bagaimana? Cicaknya bagaimana? Sama dengan cicak dalam rumah kitakah?

Kiriman

Jonbuobage

Jawapan:

Hadis berkenaan membunuh cicak ada dinyatakan daripada Ummu Syarik : “Bahawa nabi saw menyuruhnya membunuh cicak-cicak.”

Daripada Saad Bin Abi Waqas “Ianya menyuruh membunuh cicak”

Kedua-dua hadis ini adalah riwayat Muslim.

Daripada hadis yang diberikan Ibnu Barr berkata ianya meliputi semua jenis cicak yang berada di tanah haram dan tanah halal. Ulamak lain pula memberikan pandangan bahawa cicak itu juga termasuklah juga dizaman sekarang yang berada di dalam rumah-rumah kita..

Ada ulamak meletakkan bab membunuh cicak ini sebagai adab kerana ianya binatang jahat.Akan tetapi ada juga ulamak yang berpendapat bahawa perkara ini ada hikmahnya yang tersembunyi yang kita tidak tahu dan perkara ini dinamakan sebagai Ta’buddi.Ianya terserah kepada Allah.

Wallahua’lam

Read Full Post »

Sabar dengan ujian

Kehidupan kita didunia ini penuh dengan ujian. Allah sengaja mengadakan ujian itu semata-mata untuk melihat siapakah diantara kita yang terbaik disisinya. FimanNya :

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬‌ۚ وَهُوَ

ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ

“ Dialah yang menjadikan mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah diantara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia maha kuasa (membalas amal kamu), lagi maha pengampun (kepada orang-orang yang bertaubat) ” (Surah al-Mulk Ayat : 2)

Segala yang ada didunia ini hanyalah ujian semata-mata. Tiada manusia yang akan terlepas dari melaluinya. Tidak kira apapun pangkatnya, selagi dia bernama manusia, maka dia akan merasai ujian dari Allah. Bermula dari Nabi Adam hinggalah kepada pemimpin-pemimpin, raja-raja, saudara mara kita dan juga termasuk diri kita sendiri. Sebagai seorang yang beriman kepada qada’ dan qadar dari Allah, kita wajib percaya bahawa ujian itu datangnya dari Allah.

Ada orang menganggap bahawa apabila mereka ditimpa kesusahan maka itu adalah bala atau kemurkaan dari Allah. Dan apabila mereka mendapat kemewahan dan kesenangan maka pada mereka itulah rahmat yang dikurniakan. Sebenarnya anggapan itu tidak tepat. Kemewahan itu juga adalah ujian dan bukan hanya ujian itu apabila kita mendapat kesusahan.

Saidina Abu Bakar pernah berkata bahawa “ Ketika orang-orang Islam menerima ujian kesusahan, kami semua dapat mengharunginya. Tetapi apabila datang ujian kemewahan, hampir-hampir kami tewas ”.

Kenyataan Saidina Abu Bakar ini sebenarnya menunjukkan bahawa ujian kemewahan adalah lebih dahsyat lagi jika dibandingkan dengan ujian kesusahan kerana apabila ditimpa susah, kita sentiasa akan mengingati Allah. Tetapi apabila kita diuji dengan kesenangan, maka kita teramat mudah untuk menjadi lupa diri, sombong, bakhil, takbur dan sebagainya.

Sabar :

Ada diantara manusia cepat merasa kecewa, marah serta putus harap apabila kita ditimpa kesusahan. Itu bukanlah sifat seorang muslim kerana orang muslim tiada erti putus asa atau kecewa baginya. Mereka yang kecewa ini lekas hilang kesabaran terutamanya apabila kehilangan sesuatu yang paling bermakna dalam kehidupan mereka.Sehinggakan ada juga yang menjadi lebih teruk dengan sanggup untuk menyalahkan takdir Allah.

Kita sebagai ummat Islam dilarang daripada berkeluh kesah diatas ujian yang menimpa kita. Dalam menghadapi ujian samada susah atau senang kita mestilah bersabar. Ya benar, bukan perkara yang senang bagi orang yang terkena ujian menterjemahkan perkataan SABAR itu dalam bentuk praktikal tetapi percayalah, itulah perkara yang paling mulia apabila ditimpa ujian.Dengan kesabaranlah Allah akan mengangkat darjat kemuliaan kita. Dengan sabar juga hati menjadi tenang kerana mengingatkan kita bahawa ini adalah ujian dari Allah.

Sebuah hadith daripada Abu Yahya Shuhaib bin Sinan.Nabi s.a.w bersabda “Sungguh unik urusan orang yang beriman itu. Semua urusannya baik baginya. Hal ini hanya dimiliki oleh orang yang beriman. Jika dia memperolehi kegembiraan, dia bersyukur dan itu baik baginya. Jika dia dirimpa kesulitan, dia bersabar dan itu baik baginya. ” Riwayat Muslim.

Hadis ini menunjukkan bahawa senang atau susah bagi seorang muslim, adalah kebaikan dan bernilai pahala di sisi Allah jika dia bersabar dan redho menerimanya. Seorang mukmin sejati akan sentiasa bersabar dan bersyukur kepada Allah samada diwaktu senang ataupun susah. Dan pastinyalah atas kesabaran itu,maka mereka akan merasai ketenangan hidup.

Lihatlah kesabaran para nabi-nabi apabila datangnya ujian dari Allah. Lihatlah ujian yang ditimpakan keatas Nabi Ayyub. Baginda menghadapi ujian kesakitan, kematian anak-anaknya dan juga kehilangan harta benda. Begitu juga Nabi Nuh dengan tohmahan kaumnya, Nabi Musa dengan kedegilan kaumnya dan banyak lagi. Dek kerana kesabaran yang tinggi yang dimiliki oleh merekalah maka Allah mengangkat darjat mereka.

Oleh itu haruslah kita menanamkam didalam pemikiran kita bahawa hidup ini tidak lain hanyalah ujian semata-mata. Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan sentiasa mengingati bahawa semua kejadian adalah datang dari Allah. Setiap kejadian Allah itu pula ada hikmahnya. Cepat atau lambat, pasti kita akan dapat melihat hikmah itu. Mungkin hikmah itu akan kita lihat didunia ini, atau mungkin juga hikmah itu hanya dapat diketahui diakhirat nanti.

Semoga Allah akan sentiasa meletakkan diri kita semua dalam golongan orang yang mendapat rahmat dariNya. InsyaAllah.

Wallahua’lam

Read Full Post »

Turunnya Nabi Isa

Soalan:

Assalamualaikum tuan,

Ada beberapa persoalan yang saya harap tuan dapat membantu menjawabnya,diharap tuan dapat memberi jawapan dengan jelas berpandukan al-Qur’an dan sunnah.

1.) Apakah benar Nabi Isa tidak akan turun kebumi membantu umat Islam akhir zaman nanti.(kerana saya tidak temui ayat al-Qur’an yang menyatakan berlakunya perkara ini.)

2.) Adakah manusia yang berdosa atau ingkar (kafir) akhirnya akan masuk syurga? kerana saya juga tidak menjumpai ayat-ayat yang menyatakan sedemikian.

Terima Kasih

Abdul Aziz

Jawapan:

Alaikum Salam

1) Ana agak keliru dengan soalan pertama anta. Anta bertanya nabi Isa TIDAK akan turun? Bagaimanapun ana menganggap anta tersalah taip perkataan TIDAK itu kerana Nabi Isa AKAN TURUN ke bumi diakhir zaman.Antara ayat dan hadis yang menjelaskan tentang kewujudan Nabi Isa dan baginda tidak dibunuh serta hadis yang menggambarkan keadaan dan juga tempat ketika kehadiran Nabi Isa diakhir zaman ialah Firman Allah s.w.t :

وَقَوۡلِهِمۡ إِنَّا قَتَلۡنَا ٱلۡمَسِيحَ عِيسَى ٱبۡنَ مَرۡيَمَ رَسُولَ ٱللَّهِ وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَـٰكِن

شُبِّهَ لَهُمۡ‌ۚ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ لَفِى شَكٍّ۬ مِّنۡهُ‌ۚ مَا لَهُم بِهِۦ مِنۡ عِلۡمٍ إِلَّا ٱتِّبَاعَ ٱلظَّنِّ‌

ۚ وَمَا قَتَلُوهُ يَقِينَۢا (١٥٧) بَل رَّفَعَهُ ٱللَّهُ إِلَيۡهِ‌ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمً۬ا (١٥٨) وَإِن

مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ إِلَّا لَيُؤۡمِنَنَّ بِهِۦ قَبۡلَ مَوۡتِهِۦ‌ۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ يَكُونُ عَلَيۡہِمۡ شَہِيدً۬ا

Maksudnya :
Dan karena ucapan mereka: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih, Isa putera Maryam, Rasul Allah padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih paham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahwa yang mereka bunuh itu adalah Isa.
Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Tidak ada seorangpun dari Ahli Kitab, kecuali akan beriman kepadanya (Isa) sebelum kematiannya. Dan di hari kiamat nanti Isa itu akan menjadi saksi terhadap mereka. Surah an-Nisaa’(ayat 157-159)
Hadis Rasulullah yang bermaksud:
“Isa ibnu Maryam akan turun di Menara Putih di Timur Damsyik. Tidak ada seorang nabipun antara aku dengan Isa dan sesungguhnya dia benar-benar akan turun (dari langit). Apabila kamu telah melihatnya maka ketahuilah beliau seorang lelaki yang bersusuk tubuh sederhana (tidak tinggi tidak rendah) berkulit putih kemerah-merahan dia akan turun memakai dua lapis pakaian yang dicelup dengan wangi-wangian kepalanya seakan-akan menitiskan air walaupun tidak basah. (Sahih Muslim)
2) Matinya orang kafir tidak akan masuk syurga.Mereka kekal di dalam neraka.Adapun orang Islam yang sekadar berdosa maka akhirnya dia masuk syurga kembali. Didalam al-Quran Allah menyebut kekal di dalam neraka adalah orang-orang yang kafir sahaja.
Orang Islam yang berdosa, tetapi tidak sehingga menjadi kafir akan masuk ke dalam neraka dan dibakar.Selepas dibakar dan disiksa, dosa-dosanya akan terhapus dan dia akan masuk syurga kembali. Manakala orang kafir akan kekal di dalam neraka tidak ada berpenghujungnya. Firman Allah swt.
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ وَٱلۡمُشۡرِكِينَ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ
شَرُّ ٱلۡبَرِيَّةِ
Maksudnya :

Sesungguhnya orang-orang kafir yakni ahli kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk. (al-Bayyinah ayat: 6)

Wallahua’lam

Read Full Post »

Komen Pembaca

Sebenarnya solat menghormati waktu adalah pandangan yang doif. Tiada hadis yang sohih lagi sorih berkenaan solat hormat waktu. Bahkan ianya hanya dibincangkan di Malaysia sahaja. Adapun di negara arab ianya dianggap sebagai pandangan yang terpencil. Lagipun kita disuruh menunaikan solat dalam kedaan mana sekalipun tanpa perlu menqada’kannya

Ulasan ana :

Ana ada menerima satu komen kiriman saudara kita. Ana sengaja meletakkan komen ini dalam ruangan jawapan agar semua dapat menyedari kehadiran komen pembaca.Ana takut sekiranya ditinggalkan sebagai footnote ianya mungkin terlepas pandang oleh pembaca sekelian.

Alhamdulillah ada yang sudi memperingati ana. Terima kasih yang tidak terhingga ana ucapkan. Memang ada pandangan yang mengatakan bahawa tidak perlu lagi kepada solat sekali lagi (qodo’) sekiranya kita sudah menyelesaikan solat kita walaupun dalam keadaan yang tidak sempurna (duduk,tidak mengadap kiblat dan sebagainya) iaitu ianya dikira sebagai rukhsah (keringanan) jika ada sesuatu maslahah.

Antaranya Imam Ahmad yang mengatakan bahawa tiada dalil yang sohih mengenai perkara itu. Manakala ulamak yang mengatakan ianya mesti qodo’ pula, mengkiaskan dengan keadaan apabila kita berhutang dengan manusia maka kita wajib membayarnya. Oleh itu apatah lagi jika kita berhutang dengan Allah dan kita tidak menyempurnakan pembayarannya.

Apapun ini hanyalah perkara khilaf. Antum semua boleh memilih berdasarkan kebijaksanaan dalam menilai pendapat ulamak-ulamak bersandarkan dalil-dalil mereka dan niat sebenar antum semua. Jadi berkenaan jawapan ana kepada soalan solat dalam bas itu, jika kita perhatikan soalan penanya, sahabatnya itu dalam perjalanan yang tidak sampai dua marhalah dan dia masih lagi mempunyai lebih kurang 30 minit baki maghrib ketika sampai ke rumahnya.

Maka pada pandangan saya yang dhoif ini,wajiblah keatasnya menunaikan semula maghrib itu dengan sempurna kerana saya tidak melihat adanya maslahah yang membolehkan dia menguna pakai rukhsah sembahyang sambil duduk dan tidak mengadap kiblat itu hanya kerana dia menaiki bas untuk balik ke rumahnya dalam jarak yang dekat.

Jazakallah keatas orang yang memberi komen.

Wallahua’lam

Read Full Post »

Assalamualaikum w.b.t

Apa khabar ustaz? Diharap ustaz sentiasa sihat dan dirahmati oleh Allah s.w.t. Disini saya ada sedikit kemusykilan untuk dikongsi bersama ustaz dan diharap ustaz dapat memberikan sedikit nasihat dan tips untuk saya renungi. Insyaallah hujung bulan Jun ini, saya akan berangkat ke UK dalam jangka masa 3 bulan di sana .

Kalau tidak ada aral melintang, saya akan mendapat kerja sambilan sebagai photographer. Bakal majikan saya di UK itu adalah kawan baik boss saya. Antara servis yang ditawarkan oleh bakal majikan saya itu ialah wedding photography. Kemusykilan saya ialah :-

1. Wedding photography di UK dikalangan rakyat Britain melibatkan pergambaran di dalam gereja sebagai salah satu upacara perkahwinan meraka. Barangkali saya juga akan disuruh oleh bakal majikan saya untuk menangkap gambar keseluruhan upacara perkahwinan itu. Dari sudut agama, apakah hukum saya berada dan menangkap gambar didalam upacara perkahwinan itu samada di dalam dan di luar gereja ?

2. Saya dapati ramai muslim photographers di Malaysia menangkap gambar upacara keagamaan seperti Thaipusam, hari Wesak dan sebagainya. Adakah hukumnya boleh dari segi agama?

3. Apakah boleh kita menangkap gambar interior di dalam gereja , kuil dan sebagainya? Harap ustaz dapat merungkaikan sedikit kemusykilan yang saya hadapi. Diharap kita dapat bertemu dilain hari insyaallah. Wassalam.

Ariff Rafiq

Jawapan:

Alaikum salam

Terima kasih atas soalan.Ana rasa soalan ini amat berguna untuk menjadi rujukan kepada semua pembaca apatah lagi dengan keadaan sekarang Islam dipandang serong oleh bukan Islam.

Perkara ini sebenarnya termasuk didalam perkara khilaf. Hendaklah diketahui perkara khilaf itu ialah perkara yang tiada nas secara tepat untuk menentukan hukum. Contoh perkara berkaitan dengan babi. Ulama mengeluarkan hukum mengharamkan orang Islam memakan daging babi. Firman Allah Taala

حُرِّمَتۡ عَلَيۡكُمُ ٱلۡمَيۡتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحۡمُ ٱلۡخِنزِيرِ

Diharamkan keatas kamu bangkai,darah dan daging babi (al-Maidah ayat :3)

Maka bersandarkan ayat ini SEMUA ulama menafsirkan bahawa haram memakan daging babi. Itu tiada kekhilafan. Akan tetapi berkenaan urusan jualbeli ulama berselisih pendapat terhadap hukumnya kerana tiada disebutkan secara qat’ei pengharaman jualbeli keatas babi. Ada yang mengharamkan jualbeli kepada bukan Islam tetapi ada juga ulamak yang mengharuskannya. Maka inilah yang dikatakan khilaf.

Adapun perkara yang berkaitan dengan perkara yg lebih besar lagi iatulah seperti membina rumah ibadat agama lain oleh kerajaan Islam, ianya dinyatakan oleh Syeikh Yousof al-Qorodhowi apabila beliau menilai pandangan Imam Abu Hanifah bahawa adalah menjadi keharusan kepada sesebuah kerajaan untuk membina rumah ibadat bagi penganut agama lain diatas dasar kaedah fiqh apa yang dibolehkan oleh agama mereka walaupun diharamkan oleh agama kita maka ianya diharuskan apatah lagi dalam soal menjaga perhubungan dan toleransi antara agama.

Pandangan ini juga didasarkan atas toleransi kerajaan bukan Islam keatas ummat Islam yang berada dalam negara mereka. Mereka juga membenarkan kita membina masjid-masjid yang kadang kalanya diberikan bajet untuk itu oleh kerajaan mereka. Dan kita sebagai ummat Islam yang sepatutnya lebih lagi bersifat toleransi.

Adapun pendapat kebanyakkan imam-imam lain yang tidak membenarkan perkara berkaitan membina rumah ibadat agama lain ini kecuali rumah ibadat itu didirikan oleh penganut mereka sendiri tanpa kaitan dengan ummat ataupun kerajaan Islam keseluruhannya. Mereka mengeluarkan hujjah bahawa perkara yang diharamkan oleh Islam, maka ianya tetap haram walaupun dibenarkan oleh agama lain.

Adapun perkahwinan adalah perkara yang diharuskan oleh semua agama.Bertolak dari pandangan Imam Abu Hanifah ini dan juga fatwa oleh Sheikh Yousof al-Qorodhowi maka perkara seperti mengambil gambar perkahwinan dalam gereja itu adalah diharuskan kerana perkahwinan itu dibenarkan agama mereka itu. Oleh itu ana merasakan bahawa jawapan ini telah meliputi semua persoalan yang dikemukakan. Tetapi ianya bersyarat iaitu anta wajiblah :

1-Tiada niat untuk menyebarkan agama mereka
2-Menjaga adab sebagai orang Islam

Harus diingat bahawa pandangan ini adalah pandangan yang kurang popular dikalangan ulama. Akan tetapi jika kita memandang kepada maslahah ummat ketika ini, ianya sesuai kerana pandangan bukan Islam kepada ummat Islam terlalu negatif. Ini juga untuk menghilangkan salah faham bukan Islam terhadap Islam iaitu Islam terlalu banyak pantang larang.

Disamping itu juga ummat Islam hendaklah berusaha dengan gigih untuk menyampaikan Islam kepada mereka. Jadi terpulanglah kepada kebijaksanaan anta dalam menangani perkara ini. Carilah juga pandangan lain yang mungkin lebih baik dan bagus dari pandangan ana.

Wallahua’lam

Read Full Post »

Solat dalam bas

Soalan:
Assalamualaikum ustaz.Bagaimana apabila seseorang itu dalam perjalanan balik ke rumah terpaksa memulakan perjalanannya ketika masuk waktu maghrib (rumahnya tidak sampai 2 marhalah) kerana dia menaiki bas,.Dia kemudiannya telah melakukan sembahyang fardhu maghrib didalam bas secara duduk dan tidak menghadap kiblat dengan sempurna.Sedangkan masa yang diambil untuk sampai ke rumahnya hanyalah dalam lingkungan 30-40 minit dalam kata lain, apabila dia sampai ke rumahnya, maghrib masih berbaki kira-kira 30 minit.Apabila dia sampai ke rumahnya, dia tidak lagi mengerjakan sembahyang maghrib kerana menganggap ianya sudah selesai.Adakah ianya dibolehkan didalam fekah solat seperti itu walaupun tiada apa-apa kesusahan?
Mat Rodhi, Dungun

 

Jawapan:

Waalaikum salam.Jika kita sembahyang di dalam kapal terbang berwuduk,berdiri dan mengadap kiblat maka sembahyang itu sah tak perlu diulang lagi.Adapun sembahyang dalam bas keadaan duduk dan tidak mengadap kiblat sedang dia balik kerumah waktu masih ada, maka ia hendaklah sembahyang semula.Sembahyang tadi tidak sah, ia hanya sekadar hormat waktu kerana dia meninggalkan satu syarat sah sembahyang dan satu lagi rukun sembahyang iaitu mengadap kiblat adalah syarat sah sembahyang dan berdiri pula adalah salah daripada satu rukun sembahyang.

Wallahua’lam

Read Full Post »

Makna nama

Soalan:

Assalamualaikum  Ustaz.Di sini saya ingin bertanya kepada ustaz makna nama-nama anak seperti di bawah:-

Nurhana Asyikin
Nurhanim Asyikin
Nurhazleen Asyikin
Nurhazreen Asyikin

Sekian, terima kasih
M.Yusoff

Jawapan:

Waalaikum Salam

Nur beerti “Cahaya”.Manakala Äsyikin”pula bermaksud mereka yang sedang mencintai atau orang yang sedang asyik.

Adapun bagi “Hana”, “Hanim”, “Hazlen”, “dan “Hazren” saya tidak berjumpa makna kepada semuanya didalam bahasa Arab.

 

Wallahua’lam

Read Full Post »

Older Posts »