Assalamualaikum w.b.t
Apa khabar ustaz? Diharap ustaz sentiasa sihat dan dirahmati oleh Allah s.w.t. Disini saya ada sedikit kemusykilan untuk dikongsi bersama ustaz dan diharap ustaz dapat memberikan sedikit nasihat dan tips untuk saya renungi. Insyaallah hujung bulan Jun ini, saya akan berangkat ke UK dalam jangka masa 3 bulan di sana .
Kalau tidak ada aral melintang, saya akan mendapat kerja sambilan sebagai photographer. Bakal majikan saya di UK itu adalah kawan baik boss saya. Antara servis yang ditawarkan oleh bakal majikan saya itu ialah wedding photography. Kemusykilan saya ialah :-
1. Wedding photography di UK dikalangan rakyat Britain melibatkan pergambaran di dalam gereja sebagai salah satu upacara perkahwinan meraka. Barangkali saya juga akan disuruh oleh bakal majikan saya untuk menangkap gambar keseluruhan upacara perkahwinan itu. Dari sudut agama, apakah hukum saya berada dan menangkap gambar didalam upacara perkahwinan itu samada di dalam dan di luar gereja ?
2. Saya dapati ramai muslim photographers di Malaysia menangkap gambar upacara keagamaan seperti Thaipusam, hari Wesak dan sebagainya. Adakah hukumnya boleh dari segi agama?
3. Apakah boleh kita menangkap gambar interior di dalam gereja , kuil dan sebagainya? Harap ustaz dapat merungkaikan sedikit kemusykilan yang saya hadapi. Diharap kita dapat bertemu dilain hari insyaallah. Wassalam.
Ariff Rafiq
Jawapan:
Alaikum salam
Terima kasih atas soalan.Ana rasa soalan ini amat berguna untuk menjadi rujukan kepada semua pembaca apatah lagi dengan keadaan sekarang Islam dipandang serong oleh bukan Islam.
Perkara ini sebenarnya termasuk didalam perkara khilaf. Hendaklah diketahui perkara khilaf itu ialah perkara yang tiada nas secara tepat untuk menentukan hukum. Contoh perkara berkaitan dengan babi. Ulama mengeluarkan hukum mengharamkan orang Islam memakan daging babi. Firman Allah Taala
حُرِّمَتۡ عَلَيۡكُمُ ٱلۡمَيۡتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحۡمُ ٱلۡخِنزِيرِ
Diharamkan keatas kamu bangkai,darah dan daging babi (al-Maidah ayat :3)
Maka bersandarkan ayat ini SEMUA ulama menafsirkan bahawa haram memakan daging babi. Itu tiada kekhilafan. Akan tetapi berkenaan urusan jualbeli ulama berselisih pendapat terhadap hukumnya kerana tiada disebutkan secara qat’ei pengharaman jualbeli keatas babi. Ada yang mengharamkan jualbeli kepada bukan Islam tetapi ada juga ulamak yang mengharuskannya. Maka inilah yang dikatakan khilaf.
Adapun perkara yang berkaitan dengan perkara yg lebih besar lagi iatulah seperti membina rumah ibadat agama lain oleh kerajaan Islam, ianya dinyatakan oleh Syeikh Yousof al-Qorodhowi apabila beliau menilai pandangan Imam Abu Hanifah bahawa adalah menjadi keharusan kepada sesebuah kerajaan untuk membina rumah ibadat bagi penganut agama lain diatas dasar kaedah fiqh apa yang dibolehkan oleh agama mereka walaupun diharamkan oleh agama kita maka ianya diharuskan apatah lagi dalam soal menjaga perhubungan dan toleransi antara agama.
Pandangan ini juga didasarkan atas toleransi kerajaan bukan Islam keatas ummat Islam yang berada dalam negara mereka. Mereka juga membenarkan kita membina masjid-masjid yang kadang kalanya diberikan bajet untuk itu oleh kerajaan mereka. Dan kita sebagai ummat Islam yang sepatutnya lebih lagi bersifat toleransi.
Adapun pendapat kebanyakkan imam-imam lain yang tidak membenarkan perkara berkaitan membina rumah ibadat agama lain ini kecuali rumah ibadat itu didirikan oleh penganut mereka sendiri tanpa kaitan dengan ummat ataupun kerajaan Islam keseluruhannya. Mereka mengeluarkan hujjah bahawa perkara yang diharamkan oleh Islam, maka ianya tetap haram walaupun dibenarkan oleh agama lain.
Adapun perkahwinan adalah perkara yang diharuskan oleh semua agama.Bertolak dari pandangan Imam Abu Hanifah ini dan juga fatwa oleh Sheikh Yousof al-Qorodhowi maka perkara seperti mengambil gambar perkahwinan dalam gereja itu adalah diharuskan kerana perkahwinan itu dibenarkan agama mereka itu. Oleh itu ana merasakan bahawa jawapan ini telah meliputi semua persoalan yang dikemukakan. Tetapi ianya bersyarat iaitu anta wajiblah :
1-Tiada niat untuk menyebarkan agama mereka
2-Menjaga adab sebagai orang Islam
Harus diingat bahawa pandangan ini adalah pandangan yang kurang popular dikalangan ulama. Akan tetapi jika kita memandang kepada maslahah ummat ketika ini, ianya sesuai kerana pandangan bukan Islam kepada ummat Islam terlalu negatif. Ini juga untuk menghilangkan salah faham bukan Islam terhadap Islam iaitu Islam terlalu banyak pantang larang.
Disamping itu juga ummat Islam hendaklah berusaha dengan gigih untuk menyampaikan Islam kepada mereka. Jadi terpulanglah kepada kebijaksanaan anta dalam menangani perkara ini. Carilah juga pandangan lain yang mungkin lebih baik dan bagus dari pandangan ana.
Wallahua’lam