Suapan:
Kiriman
Komentar

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱتَّبَعَتۡہُمۡ ذُرِّيَّتُہُم بِإِيمَـٰنٍ أَلۡحَقۡنَا بِہِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَمَآ

 

أَلَتۡنَـٰهُم مِّنۡ عَمَلِهِم

 

مِّن شَىۡءٍ۬‌ۚ كُلُّ ٱمۡرِىِٕۭ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ۬ (٢١)

Orang-orang beriman yang diikuti zuriat keturunannya dalam keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga) dan (dengan itu) Kami tidak akan mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka. Setiap manusia terikat dengan amal-amal yang dikerjakannya ( Surah al-Tur ayat 21 )

Pendidikan mengikut acuan Islam adalah perkara terpenting dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim.Daripada kesempurnaan pendidikan secara Islam inilah akan lahir insan-insan yang berakhlak terpuji dan menjadi hamba hanya kepada Allah semata-mata.

Firman Allah :

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ (٥٦)

Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu ( az- Zaariyaat ayat 56 )

Bermulanya pendidikan didalam Islam ialah ketika seseorang itu hendak mencari pasangan hidupnya. Kita dituntut supaya mencari muslimah yang menjaga agamanya sebagi pilihan pertama agar senang bagi kita mencorakkan rumahtangga kita mengikut kehendak Allah. Sesudah berkahwin kita dituntut pula agar mendidik isteri kita dengan perkara-perkara fardhu dan juga sunat samada kita mendidiknya sendiri atau menghantar isteri kita ke kelas-kelas agama.

Kita diwajibkan untuk mendidik zuriat keturunan kita dengan didikan Islam.Dengan asas kefahaman agama kita dan isteri kita yang kuat maka ianya akan membantu proses untuk mendidik anak-anak kita ke arah yang Islam kehendaki. Inilah didikan yang paling utama yang dikehendaki oleh Islam.

Ramai diantara kita terkeliru dengan maksud pendidikan itu sendiri.Ada yang menganggap apabila menghantar anak-anak ke sekolah maka tugasan mereka telah selesai.Apa yang selebihnya dibebankan seluruhnya kepada guru.Segala kesalahan atau kekurangan yang ada pada anak-anak mereka maka gurulah yang akan disalahkan sepenuhnya.

Yang mereka ingin tahu, anak-anak mereka mesti berjaya dalam pelajaran dengan cemerlang, mesti mendapat tempat di universiti dan seterusnya memperolehi pekerjaan yang hebat, berpangkat besar dengan gaji yang lumayan. Mereka tidak peduli walaupun sekiranya akhlak anak-anak mereka hancur asalkan matlamat material mereka tercapai.Ini kerana matlamat pendidikan dalam pemikiran yang sesetengah ibubapa mahukan melalui sekolah itu, jelas berpandukan kepada material sahaja. Mereka hanya berkehendakkan kejayaan dunia semata-mata tanpa disertai kejayaan akhirat.

Mereka terlupa bahawa anak-anak adalah amanah daripada Allah yang mana ketika mereka dihadapkan kepada Allah pada hari kiamat nanti, mereka akan ditanya tentang amanah mereka ini.Mereka sebenarnya telah mengkhianati amanah Allah dengan mencorakkan kehidupan zuriat-zuriat mereka dengan corak Yahudi, Nasrani dan Majusi kerana menolak ataupun mengabaikan pendidikan berteraskan Islam

Sabda Rasulullah :

Setiap bayi yang lahir itu dalam keadaan fitrah ( beragama Islam). Oleh itu terpulanglah kepada kedua ibu bapanya samada ingin menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi 

Hadis riwayat Bukhari

Didikan ibubapa akan dapat dilihat hasilnya setelah 15 tahun. Inilah umur bagi remaja yang dikatakan sedang mencari-cari identiti mereka. Bergembiralah bagi ibubapa yang berjaya menerapkan identiti Islam kepada anak-anak mereka. Akan tetapi sekiranya identiti mereka yang kita terapkan ialah selain dari identiti Islam maka hasilnya akan pasti mereka mengikut identiti samada Yahudi ataupun Nasrani ataupun Majusi. Dan agak malang bagi ibubapa kerana apabila kerosakan telah berlaku, maka ianya teramat sukar untuk dibaikpulih.

Kesan kerosakan akhlak ini juga tidak terbatas kepada ibubapa remaja tersebut sahaja akan tetapi ianya akan membarah dan merebak masuk ke dalam masyarakat juga. Ini berdasarkan kepada statistik jenayah yang dilakukan oleh remaja semakin hari semakin meningkat naik. Inilah hasil dari kepincangan pendidikan kepada anak-anak yang telah dilakukan puluhan tahun dahulu.

Dahulu gejala bohsia dan bohjan mewarnai kehidupan remaja. Kemudian gejala membuang anak pula mengambil tempat. Pesakit AIDS dahulu amat sedikit bilangannya tetapi sekarang, ada persatuan untuk menjaga kebajikan anak-anak pesakit AIDS menandakan bilangan pesakit itu semakin bertambah. Datang pula gejala pil kuda, estacy dan pelbagai jenis pil khayal dalam kehidupan remaja ini.

Terbaru, gejala merempit oleh remaja-remaja tidak kira lelaki ataupun perempuan.Walaupun gejala mat rempit atau samseng jalanan ini telah lama bertapak akan tetapi sekarang ini mereka lebih berani lagi dengan melakukan ragut dan samun. Bahkan ada mangsa yang terbunuh disebabkan perbuatan mereka. Jika ada yang menyekat maka mereka akan menyerang balas dengan kumpulan mereka.Dan lebih menyedihkan lagi hampir kesemua gejala-gejala ini dipelopori oleh remaja Islam.

Seperti yang telah disebutkan tadi, inilah hasil daripada kegagalan umat Islam mendidik anak-anak mereka mengikut acuan dan kehendak Islam. Ada ibubapa yang tidak berilmu ditambah dengan teramat sibuk dengan agenda dunianya sehingga anak-anak menjadi terabai. Ada juga yang berilmu tetapi sibuk dengan aktiviti luar. Ada yang berilmu akan tetapi ilmunya itu tidak diamalkan. Mereka datang ke majlis-majlis ilmu tetapi segala ilmu itu disimpan hanya untuk dirinya sahaja. Tidak dikembangkan hatta kepada keluarganya.

Inilah antara penyebab-penyebab utama yang menyumbang kepada kelemahan sistem pendidikan Islam disamping pengaruh rakan-rakan remaja itu dan juga hiburan yang melampau. Hancurnya akhlak Islam akan menyebabkan Islam juga turut dipandang hina .

Mempunyai akhlak yang jelek walaupun kaya, pintar dan tampan akan tetap dipandang hina bukan sahaja oleh Allah malahan manusia keseluruhannya berbanding dengan mereka yang mempunyai akhlak Islam yang terpuji walaupun mereka itu miskin dan hodoh

Akhlak terpuji seperti akhlak rasulullah s.a.w yang mendapat didikan secara langsung dari Allah telah membawa sinar rahmat dan kemuliaan kepada bangsa arab jahiliyyah yang suatu masa sebelum itu dipandang hina kerana akhlak kebinatangan yang mereka miliki. Akhlak dari al-Quran itu dijadikan amalan oleh rasulullah dalam kehidupan sehariannya. Baginda pula tidak hanya mengamalkannya untuk dirinya sahaja malahan dikembangkan pula kepada sahabat-sahabat baginda dengan didikan dari al-Quran itu.

Manakala sahabat-sahabat baginda pula mengembangkannya pula kepada ahli keluarga dan kepada masyarakat mereka. Mereka saling bersaing sesama mereka untuk mengamalkan didikan rasulullah itu. Diturunkan pula didikan ini kepada tabiin dan tabiin-tabiin.Begitulah seharusnya kita menyambung corak pendidikan Islam ini kepada zuriat kita dan juga masyarakat berterusan sehingga kiamat.

Malangnya rantaian pendidikan Islam ini terputus kerana kita umat Islam zaman sekarang tidak bersungguh-sungguh untuk mengamalkannya dalam kehidupan kita. Ditambah pula dengan ilmu yang sangat kurang maka kita terus menjadi malas dan lesu untuk menyambung rantaian ilmu ini. Lebih menyedihkan lagi didikan akhlak Islam ini telah diambil dan diamalkan oleh musuh Islam sekaligus memperlihatkan akhlak mereka lebih terpuji berbanding kita.

Dinukilkan di dalam sebuah buku tulisan orang Kristian yang menyarankan agar ibubapa perlu merotan anak-anak mereka dan menggantung rotan di dinding rumah mereka sebagai peringatan kepada anak-anak mereka. Hal ini sebenarnya telah dinyatakan oleh rasulullah lebih 1400 tahun dahulu. Tetapi berapa ramai diantara kita yang mengamalkannya? Sayang, mutiara ilmu yang kita miliki, kita tidak bersungguh untuk memeliharanya dan mengamalkannya tetapi diambil dan diamalkan oleh kaum lain pula.

Sekarang hasil daripada terputusnya rantaian pendidikan Islam itu telah kita lihat dihadapan mata kita sendiri. Walaupun begitu kita masih perlu untuk memperbaikinya biar sesukar manapun perjuangan kita untuk melakukannya. Kita mesti bersatu menggerakkan kesedaran atas nama Islam untuk   sama-sama mendidik remaja-remaja ini agar kembali kepada Islam. Gerakan ini seharusnya bermula dari diri kita. Sebagai ketua keluarga hendaknya diperbaiki dahulu akhlak kita agar dapat menjadi contoh dan tauladan kepada keluarga.

Tambahkan ilmu dalam diri kita agar segala perkara yang kita lakukan adalah berdasarkan ilmu.Biarpun sedikit sahaja masa yang dapat diperuntukkan untuk ilmu tetapi lakukanlah dengan istiqomah. Bersahabatlah kita dengan anak-anak remaja kita.Jangan hanya tahu menyalahkan mereka tanpa menyiasat punca sebenar kerosakan mereka yang mungkin berpunca dari kesilapan kita.

Kurangkanlah kesibukan mengejar dunia sehingga mengabaikan tanggungjawab kita dalam mendidik anak-anak.Hantarlah anak-anak kepada guru-guru agama sekiranya kita tidak mampu untuk mendidik mereka.Letakkanlah mereka dalam suasana Islam agar mereka dipelihara Allah. Bagi mereka yang mempunyai ilmu yang cukup, ilmu itu seharusnya disebarkan dengan lebih bersungguh-sungguh kepada keluarga dan akhirnya kepada masyarakat.Hanya dengan didikan Islam sahajalah yang dapat menyelamatkan diri, keluarga dan masyarakat kita dari kecelakaan dunia dan api neraka Allah di akhirat nanti.

Firman Allah

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا

مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ (٦)

Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang mana bahan bakarnya adalah dari manusia dan batu-batu yang diatasnya ialah malaikat-malaikat yang kasar lagi keras sikapnya, tidak menderhakai Allah pada apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan mereka kerjakan apa yang disuruhkan. (Tahrim ayat 6)

Marilah sama-sama kita merenung akan musibah yang telah dan sedang melanda umat Islam hasil dari kelemahan kita untuk mendaulatkan ilmu Islam. Janganlah kita memarakkan lagi malapetaka ini dengan bersikap berkecuali dengan apa yang sedang berlaku kerana Allah tidak mengecualikan sesiapapun apabila menurunkan balaNya.

Kewajipan ibadah haji

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIIM

 

 

Haji ialah salah satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam. Dalam urutan rukun Islam ianya adalah yang kelima iaitu yang terakhir. Ianya diperintahkan Allah didalam surah al-Baqarah ayat 196. Firman Allah :

 

وَأَتِمُّواْ ٱلۡحَجَّ وَٱلۡعُمۡرَةَ لِلَّهِ‌ۚ

 

Dan sempurnakanlah ibadah haji dan `umrah karena Allah.

 

 

Ianya bermula dizaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ketika baginda berdua tinggal di Mekah. Allah telah memerintahkan baginda berdua supaya membina Kaabah sebagai tempat beribadat. Maka dengan kepayahan dan kesabaran mereka menurut perintah Allah itu. Kemudian dengan perintah Allah juga Nabi Ibrahim menyeru manusia untuk datang beribadat di Kaabah. Firman Allah di dalam surah al-Hajj ayat 27-29 :

 

وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ يَأۡتُوكَ رِجَالاً۬ وَعَلَىٰ ڪُلِّ ضَامِرٍ۬ يَأۡتِينَ

 

مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ۬ (٢٧) لِّيَشۡهَدُواْ مَنَـٰفِعَ لَهُمۡ وَيَذۡڪُرُواْ ٱسۡمَ

 

ٱللَّهِ فِىٓ أَيَّامٍ۬ مَّعۡلُومَـٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلۡأَنۡعَـٰمِ‌ۖ فَكُلُواْ

 

 مِنۡہَا وَأَطۡعِمُواْ ٱلۡبَآٮِٕسَ ٱلۡفَقِيرَ (٢٨) ثُمَّ لۡيَقۡضُواْ تَفَثَهُمۡ وَلۡيُوفُواْ

 

 نُذُورَهُمۡ وَلۡيَطَّوَّفُواْ بِٱلۡبَيۡتِ ٱلۡعَتِيقِ (٢٩)

 

 

Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki, dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh : 27

 

Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan berbagai faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan qurban) dengan demikian makanlah kamu (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin : 28

 

Kemudian hendaklah mereka membersihkan diri mereka, dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka, dan hendaklah mereka tawaf akan baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu. : 29

 

Oleh kerana seruan itu yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s maka setiap orang yang dalam perjalanan ke Mekah selepas berniat di miqat samada untuk menunaikan umrah atau haji maka sangat-sangat dianjurkan agar menyebut “Labaikallahummalabaik, Labaikala syarikalakalabik” dengan maksud “HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya hambaMu datang menyahut panggilanMu”.

 

Ini ialah sebagai simbolik kita menyahut kembali kepada seruan Nabi Allah Ibrahim yang menyeru manusia agar datang ke Baitullah apabila baginda diperintahkan oleh Allah melakukan seruan itu setelah baginda selesai membina Kaabah dahulu.

 

Ibadah haji ialah ibadat yang sangat mencabar fizikal dan mental manusia. Bermula dari saat kita ingin mencari wang sebagai bekalan dan tambang hinggalah kepada hari berlepas yang disulami dengan pelbagai karenah. Itu belum dikira hari-hari kita berada di Mekah beserta jutaan ummat Islam yang lain yang datang dari pelbagai pelusuk dunia untuk bersama-sama dengan kita untuk menunaikan haji.

 

Dahulu cabarannya lain. Sekarang cabarannya lain. Dahulu tidaklah seramai sekarang orang yang mengerjakan haji mengerjakan haji.Tetapi kepayahan untuk datang dapat dilihat dengan kesusahan mereka menempuh badai gelora lautan bagi yang menggunakan kapal laut. Berbulan-bulan mereka meninggalkan keluarga dan tanah air semata-mata kerana memenuhi tuntutan Allah. Ada juga yang menaiki unta untuk datang.

 

Bakal haji sekarang ini walaupun mempunyai kenderaan yang bagus, selesa dan pantas, tetapi mereka pula menghadapi cabaran dengan jumlah kehadiran manusia yang begitu ramai sehingga lebih tiga juta orang jemaah pada satu-satu masa. Bukan perkara yang mudah untuk melakukan haji dalam keadaan yang berasak-asak begitu.

 

Bayangkan kita didalam ihram, diharamkan bagi kita dari melakukan 13 perkara yang biasa kita lakukan dalam kehidupan seharian kita, tiba-tiba disuruh kita agar menjauhinya. Ditambah pula dengan karenah orang-orang disekeliling kita yang mempunyai pelbagai watak dan perangai. Maka oleh kerana perjalanan ibadat ini sangat mencabar, maka ianya perlukan kesabaran yang tinggi dan akhlak yang mulia bagi kita menyelesaikannya dengan baik dan mendapat haji yang mabrur.

 

Dengan keadaan yang kelihatan tidak terurus, rambut yang tidak disikat kerana dibimbangi rambut gugur kerana kita dilarang mencabut bulu dari badan kita dengan sengaja, dengan tidak memakai pakaian berjahit yang sempurna hanya dua helai kain ihram yang disunatkan berwarna putih, tiada kasut yang cantik, tiada bau-bauan yang diletakkan atas tubuh kita maka ianya menjadikan kita sebagai sebenar-benar hamba Allah yang tidak punyai apa.

 

Apabila wuquf di Padang Arafah, walaupun kamu raja yang memerintah, ataupun seorang rakyat yang diperintah, samada kamu berketurunan mulia atau seorang yang tidak tahu asal-usul keturunannya maka disini, kamu adalah sama. Tiada beza disisi Allah. Menginsafkan kita bahawa tiada apa yang hebat hidup di dunia ini melainkan apabila kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah.

 

Ramai orang pergi menunaikan haji tapi amat sedikit  daripada mereka yang mendapat haji mabrur kerana ianya berkait rapat dengan niat yang ikhlas, hati yang suci, syarat-syarat yang cukup rukun-rukun yang ditetapkan dan ahklak yang mulia. Ada yang datang dengan tujuan yang menyimpang seperti mahu digelar “haji”, mahu kelihatan warak, malu pada teman-teman yang sudah menunaikan haji. Terpaksa mengikut keluarga dan berbagi-bagai lagi niat yang dipasang yang bukan kerana Allah.

 

Rasulullah diriwayatkan ketika mahu memulakan ibadat haji, baginda berdoa kepada Allah supaya janganlah kiranya haji yang baginda ingin lakukan itu kerana sum’ah dan riya’. Ini menunjukkan kepada kita bahawa bukan senang untuk melakukan haji yang ikhlas kerana Allah sehinggakan baginda yang maksum itu juga berdoa agar terlindung dari perkara-perkara mazmumah itu.

 

Ibadat ini juga dilakukan secara berjemaah menyebabkan kita bertemu dengan ramai ummat Islam dari berbagai bangsa maka disitu kita hendaklah memupuk persaudaraan Islam. Tanpa mengira warna kulit, negara mana, mahupun bahasa apa yang kita gunakan kita bersatu dibawah nama Islam dan bersaudara juga dibawah panji Islam. Perkumpulan ini membuktikan penyatuan ummat Islam sejagat begitu utuh. Tidak terdapat didalam mana-mana agama penyatuan seperti ini.

 

Dalam kesempatan ini suka untuk ana memberikan sedikit nasihat kepada mereka yang bakal menunaikan haji supaya mengikhlaskan hati dan jiwa  kepada Allah. Bukan kita hanya perlu membawa pakaian dan bekalan lahiriah sahaja tetapi membawa bersama-sama taqwa yang tinggi, akhlak yang mulia dan sikap bertoleransi sebagai bekalan batiniah.

 

Janganlah kita hanya berakhlak mulia ketika di Tanah Haram sahaja akan tetapi bawalah pulang kembali bersama akhlak-akhlak terpuji ini agar dapat ia diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat kita. Semoga masyarakat kita menjadi masyarakat madani dengan terbentuknya akhlak-akhlak terpuji ini.

 

Janganlah kita berbalah masam muka tapi banyakkan sabar, ibadah, doa-doa dan rebutlah peluang dengan sebaik-baiknya dibumi yang berkat pada hari-hari yang dimuliakan agar kita menjadi orang yang bertaqwa disisi Allah.Firman Allah:

 

ٱلۡحَجُّ أَشۡهُرٌ۬ مَّعۡلُومَـٰتٌ۬‌ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلۡحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا

 

 فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلۡحَجِّ‌ۗ وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٍ۬ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُ

 

‌ۗ وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰ‌ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

 

(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal. (al-Baqarah :197 )

 

Kesimpulan kepada ibadat haji ini ialah ianya akan membantu kita membentuk peribadi yang mulia setelah kita belajar dari pengalaman yang berharga di bumi Mekah. Kita belajar sabar dengan karenah manusia yang berbagai fe’el. Membantu kita menjadi zuhud apabila kita melihat tubuh kita yang hanya disaluti dua helai kain ihram. Tiada apa yang diperlukan dari harta dunia ini. Kita merasa rendah diri dan tidak punya apa apabila memikirkan bahawa manusia ini semua sama sahaja disisi Allah kecuali mereka yang bertaqwa. Semoga antum semua mendapat haji yang mabrur. Doa ana untuk semua Amiin.

 

 

Wallahua’lam

Ibadah Qurban (Adhiyyah)

Ibadah Qurban (Adhiyyah)

 

Bismillahirrahmanirrahiim

 

Adhiyyah bererti sembelihan binatang seperti unta, lembu, kambing, dan biri-biri. Adapun tujuan sembelihan ini adalah untuk taqarruban iaitulah mendekatkan diri kepada Allah. Ianya ialah ibadah taabudi yang dilakukan pada hari-hari raya adha dan tasyrik. Dalil ibadah qurban ini ialah Allah berfirman dalam surah al-kautsar ayat 2:

 

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ (٢)

 

Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)

 

Hukum kepada ibadah ini ialah sunat muakadah iaitu satu sunnah yang sangat-sangat dituntut untuk kita melakukannya. Nabi s.a.w tidak pernah meninggalkan ibadah ini. Walaupun hanya sunat, tetapi ianya  boleh menjadi wajib kalau sekiranya seseorang itu bernazar untuk melakukannya.

 

Ibadah ini juga afdhal untuk kita melakukannya mengikut turutan iaitu turutannya ialah unta jika kita mampu.Sekiranya tiada kemampuan maka carilah lembu dan sekiranya masih tidak mampu juga maka sembelihlah kambing atau sebahagian daripada daripada tujuh bahagian unta atau lembu. Rasulullah diriwayatkan pernah menyembelih seekor unta untuk isteri-isteri baginda.

 

Ibadah taabudi ialah ibadah yang dilakukan secara taabud iaitu perkara yang tidak boleh ditukar. Apabila dinamakan ibadah taabud maka dalam apa bentuk sekalipun ia menuntut kepada ketaatan walaupun dalam sesuatu ibadah taabudi itu tiada hikmat yang dapat kita lihat secara jelas.

 

Pada hukumnya daging qurban ini tidak diberikan kepada orang bukan Islam. Berlainan dengan aqiqah yang lebih cenderung kepada kesyukuran kerana mendapat anak. Akan tetapi hukum daging qurban itu boleh berubah sekiranya pada satu-satu ketika daging itu menjadi terlalu banyak dan boleh mengakibatkan pembaziran maka ada ulamak yang mengharuskan pemberian daging itu kepada orang bukan Islam atas dasar mengelakkan pembaziran daripada berlaku.

 

Dalam hal pembahagian juga, disunatkan daging-daging qurban ini diagihkan secara mentah kepada penerima berbanding dengan aqiqah yang disunatkan kita memasaknya dengan dilebihkan sedikit rasa manis dalam masakan itu.

 

Hikmah yang ada pada ibadah ini juga, adalah untuk mengingatkan kita kepada kesabaran, kesanggupan menerima perintah Allah secara mutlak yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim sekeluarga. Tiada merasa susah dengan perintah Allah. Bayangkanlah ketika mula mendapat anak setelah sekian lama menunggu, baginda diperintah Allah agar meletakkan anak isterinya di suatu lembah yang gersang. Apabila anak itu meningkat remaja, diperintahkan pula supaya menyembelih anak kesayangan baginda itu.

 

Tiadalah kesanggupan melakukan kerja yang dianggap amat perit itu melainkan keatas orang-orang yang benar-benar bertaqwa dan juga bertawakkal kepada Allah sahaja. Hanya insane yang terpilih sahaja yang benar-benar menyanggupinya. Semoga dengan ibadah qurban ini maka akan lahirlah keinsafan dalam diri kita untuk turut berkorban dijalan Allah.

 

Selain daripada kita merenung peristiwa ketaatan nabi Allah Ibrahim sekeluarga ibadah ini juga sebenarnya untuk menginsafi dan menghidupkan rasa kasih sayang tolong menolong kepada orang miskin, keluarga jiran dan masyarakat. Rasa kekitaan akan wujud hasil daripada perasaan cakna kita dengan orang disekeliling kita. Dengan bersedekah, memberi hadiah, ianya akan menambahkan lagi ikatan persaudaraan yang telah sedia ada.

 

Suka ana disini mengambil kesempatan untuk menasihati saudara-saudari sekelian agar berusaha supaya menghidupkan ibadah ini dengan penuh keikhlasan. Firman Allah:

 

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡ‌ۚ كَذَٲلِكَ

 سَخَّرَهَا لَكُمۡ لِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (٣٧)

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.(Surah al-Hajj ayat 37)

Beberapa perkara juga patut kita perhatikan dalam kita menjalani ibadah ini iaitu adalah haram mengambil daging qurban  dan dijadikan sebagai upah kepada tukang sembelih atau orang yang melapah daging. Boleh kita ambil duit lain sebagai upah. Walaupun begitu adalah lebih afdhal jika kita niat untuk menolong sahaja.

 

Sunat diambil sedikit daripada bahagian hati untuk dimakan oleh tuan empunya daging qurban. Keseluruhan daging itu boleh di bahgi tiga bahagian iaitu satu bahagian untuk empunya, satu bahagian untuk orang miskin dan satu bahagian untuk orang kaya.

 

Akhirnya sebagai penutup bicara, ana mengajak saudar-saudari sekelian agar mengambil iktibar dengan bersungguh-sungguh tentang kepayahan dan kesulitan yang dialami oleh para nabi kita dalam mengorbankan segala kesenangan dunia dalam perjalanan mereka untuk menegakkan agama Allah. Oleh itu carilah kesanggupan kita untuk turut berkorban di jalan Allah kerana para nabi, anbiya, solehin dan orang-orang yang telah mengikut jalan pengorbanan ini telahpun berbahagia dialam roh disisi Allah.

 

 

Wallahua’lam

 

Emas putih dan hutang

Assalamualaikum,

 

1)       Nak tanya ustaz berkaitan hukum orang lelaki memakai cincin emas putih. Adakah boleh dan sah sembahyang jika memakai cincin emas putih.

2)       Hukum memakai minyak wangi yang beralkohol (jenama Polo, CK,) . Adakah boleh dibawa untuk bersembahyang?

3)       Sekiranya kita berhutang dgn seseorang atau company, dan mahu membayar hutang tersebut tetapi orang atau company tersebut tidak dapat dihubungi atau dijejaki lagi. Bolehkah hutang tersebut dibayar ke pusat zakat atau badan kebajikan dengan niat membayar hutang tersebut?

 

 

Sekian , Terima Kasih

 

Zaidi

 

 

1.Emas Putih

 

Alaikum salam. Sah dan tidak berdosa sebab ianya tidak dikira sebagai emas yang dimaksudkan didalam hadis rasulullah. Ia hanyalah nama yang diberikan oleh pihak tertentu sahaja dalam menggambarkan nilainya yang tinggi.Seperti mana juga petroleum yang digelar emas hitam. Sekalipun kalau kita sembahyang dengan memakai emas kuning ianya tetap SAH TETAPI BERDOSA.

                                                       

2.Hutang

 

Alaikum salam. Jika tidak dapat dihubungi, cubalah sedaya upaya kita mencari keluarganya atau waris yang boleh menerima pusakanya atau orang yang bertanggungjawab terhadap syarikat itu dan jika gagal setelah berusaha kearah itu, maka boleh diwakafkan hutang kepada tempat-tempat yang diredhai itu ataupun kepada baitulmal.

 

Berkenaan soalan minyak wangi itu ianya telahpun dijawab dalam satu soalan yang sama beberapa ketika dahulu.sila rujuk kepada arkib untuk jawapan.

 

Wallahua’lam

Zakat KWSP

Soalan:

 

Salam Uztaz,

 

Sebelumnya saya ingin mengucapkan tahniah atas pembukaan blog ini dalam membantu umat Islam. Semoga amal baik ustaz ini akan berterusan dan di terima Allah. Amin.

 

Masalah saya baru-baru ini saya dan suami ada mengeluarkan duit KWSP masing-masing untuk menghabiskan pinjaman rumah dengan bank yang kami duduk sekarang. Setelah memohon pengeluaran, dalam masa 3 minggu KWSP telah memberi kami cek tersebut. Suami sebanyak RM 13 300 dan saya sebanyak RM 700. Kami telah serahkan cek KWSP ini pada pihak bank dan setelah dikira ada lagi baki RM 200 yang mana pihak bank telah pulangkan pada akaun suami.

 

Soalan saya adakah duit KWSP kami yg berjumlah RM 14 000 itu dikenakan zakat? Sila terangkan dan jelaskan berapa jika kami perlu membayarnya.

 

Terima kasih, Allah sahaja yang dapat membalas jasa Ustaz.

 

Wasalam, yang benar,

 

Puan U A,

Johor

 

 

Jawapan:

Untuk duit KWSP yang dikeluarkan ,kita kena tunggu SETAHUN haul tam (hak milik sempurna) dan peratus jumlahnya ialah 2.5%. Akan tetapi ada juga pandangan yang mengatakan kita kena keluar terus selepas dapat duit tersebut .

Wallahua’lam

Apakah maksud yang dikatakan sebagai orang mukmin? Orang mukmin ialah orang yang beriman dan percaya serta tiada perasaaan syak ragu kepada Allah. Adapun sesungguhnya orang-orang mukmin itu terbahagi kepada dua bahagian:

 

1.Mukmin soleh dan bertaqwa iaitu mereka yang sentiasa melakukan perkara-perkara yang baik dan sentiasa menghindari daripada melakukan perkara yang mungkar dan maksiat

 

2.Mukmin yang asi dengan kata lain yang selain daripada melakukan ketaatan mereka juga melakukan maksiat.

 

Sesungguhnya bukan semua orang-orang mukmin itu muttaqin dan solehin. Disana ada terdapat orang-orang yang  mukmin tapi asi iaitu derhaka kepada Allah. Orang-orang mukmin yang asi dia beriman kepada Allah dan percaya kepada Allah tetapi iman mereka lemah atau nipis. Kerana itu dia melakukan perkara maksiat mungkar. Sedang hatinya masih lagi percaya tetapi lemah untuk meninggalkan dosa dan maksiat itu.

 

Orang itu nasibnya di hari akhirat diletakkan didalam neraka dan dibakar. Apabila habis tempoh seksaannya dengan kehendak Allah lalu dia dikeluarkan daripada neraka. Dengan kata lain dia tidak rela kerana imannya masih ada selepas itu dia dimasukkan pula ke syurga.

 

Antara sifat-sifat orang mukmin yang asi ialah cuai dalam melakukan ketaatan wajib seperti solat puasa dan sebagainya. Dan juga kerana melakukan benda-benda yang haram seperti zina, mencuri, mendedahkan aurat dan lain-lain. Tergolong juga orang yang mukmin yang asi itu ialah apabila dia melakukan ibadat dan perkara-perkara yang baik tapi hatinya tidak ikhlas. Adanya riak, sum’ah atau ibadat yang dilakukan itu dalam tidak betul syarat-syaratnya tidak cukup rukunnya.

 

Sesungguh ibadat itu apabila diangkat ke langit oleh malaikat lalu ibadat-ibadat itu akan berkata kepada orang yang melakukannya “Sebagaimana engkau telah mensia-sia terhadapku maka Allah juga akan mensia-siakan engkau. Tuhan akan abaikan dirimu dan tidak akan membuka pintu langit untukmu. Tuhan tidak akan beri peluang untuk masuk syurganya”

 

Oleh kerana itu seluruh ibadat hendaklah dilaksanakan dengan betul dan ikhlas kepada Allah. Jika tidak, seseorang itu melakukan ibadat berdosa, tidak melakukannya juga berdosa. Firman Allah :

 

 

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ

 

 وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ‌ۚ وَذَٲلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ

 

               Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar. (al-bayyinah 5.)

 

Sebab itu pernah rasulullah s.a.w bukan sahaja mengajak manusia kepada Islam dan beramal dengannya tetapi dalam masa yang sama juga rasulullah memperbetulkan amalan manusia kerana tidak beramal berdosa dan beramal dgn cara yg salah ianya juga berdosa.

 

Islam adalah ajaran yang bersih suci, cermat.kita diajak supaya menjaga luaran dan dalam dengan sempurna. Oleh itu rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a, mereka rajin beribadat dan cermat beribadat.sehingga ada riwayat yang menceritakan ada seorang sahabat ketika dia sembahyang dimana burung hinggap kerana menyangkakan batang kayu.

 

Adapun sifat-sifat orang mukmin yang soleh lagi bertaqwa ialah mereka yang hatinya suci suka beribadat yang wajib dan sunat disamping memelihara dirinya daripada maksiat-maksiat yang besar dan kecil yang luar dan dalam. Antara sifat-sifat itu ialah sentiasa mendirikan sembahyang dan menjaga syarat-syarat, rukun-rukun serta kekhusyukan dalam ibadat.

 

Keikhlasan hati mereka hanyalah kepada Allah. Tiada apa yang mereka harapkan kecuali redha Allah walau dalam apa jua keadaan. Mereka tidak kisahkan apa yang manusia kata dan fikirkan, yang mereka kisahkan ialah apa yang Allah fikir dan apakah Allah redha dengan mereka atau tidak.

 

Bagi mereka yang ikhlas kepada Allah ini, biarlah seluruh manusia menghina dan memarahi dirinya kerana memelihara agama Allah dan Allah meredhainya daripada dia disanjung dan dipuja oleh semua makhluk tetapi dalam masa yang sama Allah melaknatinya dan memurkainya.

 

 

Wallahua’lam

Pemakaian Bow

Assalamualaikum

Saya ingin bertanyakan hukum memakai bow tai(reben) di tengkuk mengantikan tali leher. ada sesetengah orng mengatakan haram kerana ikut ajaran kristian .Betul ke?Boleh jelaskan pada saya.

Jiji

 

Jawapan:

Alaikum salam

Persoalan ini adalah khilaf diantara ulamak. Ada yang kata boleh ada yang mengharamkannya. Ana tidak mengetahui samada benar atau tidak dakwaan yang mengatakan ianya adalah pakaian yang mengikut ajaran kristian. Akan tetapi sekiranya ia adalah benar, maka pemakaian itu menjadi haram berdasarkan kepada hadis rasulullah iaitu

“sesiapa yg menyerupai sesuatu kaum itu maka mereka adalah daripada mereka.”

Wallahua’lam

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.